SOALAN
Assalamualaikum. Saya ada satu pertanyaan. Adakah boleh kita menggunakan duit Crypto Coins sebagai mas kahwin? Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Di Malaysia, mata wang kripto atau crypto coins belum diiktiraf sebagai medium pertukaran yang sah seperti Ringgit Malaysia (RM) kerana Bank Negara Malaysia (BNM) masih belum memberi pengiktirafan rasmi. Walau bagaimanapun, dalam konteks semasa di Malaysia, wang kripto dianggap sebagai komoditi yang boleh diperdagangkan dan dijadikan aset. Berdasarkan konsep ini, mata wang kripto boleh digunakan sebagai mas kahwin dan hukumnya adalah sah.
HURAIAN JAWAPAN
Mas kahwin, atau mahar, adalah pemberian wajib yang perlu dipenuhi oleh pihak suami
kepada pihak isteri. Dalam istilah fiqh, mahar merujuk kepada harta yang mesti diserahkan
oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan sebagai syarat sah akad nikah, yang seterusnya
menghalalkan hubungan di antara keduanya.
(Rujuk: Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/109-110)
Seterusnya, tiada had tertentu bagi jumlah mahar, baik dari segi jumlah minimum mahupun maksimum. Sebaliknya, semua perkara yang bernilai, boleh dijual, atau disewakan boleh dijadikan mahar, sama ada berbentuk ‘ain (barang tersebut), hutang, atau manfaat. Ini termasuklah benda yang sedikit atau banyak, seperti sebuah kereta, wang tunai bernilai 10,000 dirham, atau sebuah rumah. Malah, mahar juga boleh diberikan dalam bentuk mengajarkan sesuatu ilmu, seperti ilmu Al-Quran, kepada isteri.
(Rujuk: Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/113)
Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:
وَأُحِلَّ لَكُمْ مَا وَرَاءَ ذَلِكُمْ أَنْ تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُمْ
Maksudnya: “Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (iaitu) mencari isteri-isteri dengan hartamu.”
Surah al-Nisa’ (24)
Ayat ini hanya menyebut harta (ال (ا) secara umum tanpa menetapkan bentuk atau kadar harta secara spesifik. Begitu juga, panduan Rasulullah SAW melalui hadisnya:
أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ
Maksudnya: “Berikanlah kepada perempuan itu walaupun sebentuk cincin besi.”
Riwayat al-Bukhari (4741)
Dalam sebuah hadis Amir bin Rabi’ah RA memperihalkan pendirian sebegini dengan lebih jelas, hadisnya:
أَنَّ امْرَأَةً مِنْ بَنِي فَزَارَةَ تَزَوَّجَتْ عَلَى نَعْلَيْنِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَضِيتِ مِنْ نَفْسِكِ وَمَالِكِ بِنَعْلَيْنِ. قَالَتْ نَعَمْ قَالَ فَأَجَازَهُ
Maksudnya: “Seorang perempuan daripada Bani Fazarah berkahwin dengan mas kahwin sepasang selipar. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu reda mendapat sepasang selipar sebagai mas kahwin?” Perempuan itu menjawab: “Ya!” Lalu Baginda membenarkannya.”
Riwayat al-Tirmizi (1113)
Mengenai kedudukan wang kripto, Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan kenyataan pertamanya berkenaan Bitcoin pada 2 Januari 2014 di laman web rasmi mereka. Dalam kenyataan ringkas tersebut, BNM menegaskan bahawa Bitcoin tidak diiktiraf sebagai mata wang rasmi (legal tender) di Malaysia, dan BNM juga tidak mengawal selia operasinya. Oleh itu, orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati dengan risiko yang mungkin timbul daripada penggunaan mata wang digital seperti ini.[1]
Walaupun wang kripto masih belum diiktiraf sebagai mata wang sah seperti Ringgit Malaysia (RM) dan mata wang lain, ia tetap dianggap sebagai komoditi yang boleh diperdagangkan dan dijadikan aset pelaburan. Berdasarkan konsep ini, wang kripto boleh dijadikan sebagai salah satu bentuk mahar kerana ia diiktiraf sebagai barang bernilai, sama seperti barangan lain.
Wallahu a’lam.
[1]
https://www.bnm.gov.my/-/statement-on-bitcoin#:~:text=The%20Bitcoin%20is%20not%20recognised,usage%20of%20such%20digital%20currency
[2]
https://themalaysianreserve.com/2020/10/07/investors-still-wary-on-cryptocurrencys-shariahcompliance/
Sumber Asal:
https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4958-al-kafi-1822-hukum-menjadikan-matawang-kripto-sebagai-mas-kahwin