fbpx

Kripto Wajib Dizakatkan

By Zakat Malaysia

Mata wang kripto dan aset digital adalah teknologi kewangan yang muncul dalam era moden kini. Aset digital merujuk kepada sesuatu yang mempunyai nilai dan boleh dimiliki, namun ia bersifat maya, tidak berbentuk nyata, serta tiada bentuk fizikal. Dalam erti kata lain, aset digital adalah entiti digital yang dimiliki oleh individu atau syarikat, seperti gambar digital, video, dan lagu. Sebagai gantinya, data ini diwujudkan dalam bentuk fail yang disimpan dalam peranti penyimpanan seperti komputer atau rangkaian simpanan berasaskan awan.

Walau bagaimanapun, pakar kewangan Islam masih belum mencapai kata sepakat tentang hukum penggunaan mata wang kripto dan aset digital. Penjelasan ini berfokus pada hukum zakat yang berkaitan dengan mata wang kripto dan aset digital menurut syarak selaras dengan perkembangan semasa.

Beberapa fatwa telah dikeluarkan oleh para fuqaha, badan fiqh antarabangsa, dan institusi fatwa di Malaysia berkenaan hukum zakat ke atas mata wang kripto. Antara pandangan fuqaha mengenai zakat ke atas mata wang kripto adalah seperti berikut:

Mata Wang Kripto Diqiyaskan Kepada ‘Nuqud’ (Mata Wang Dinar Dan Dirham) Dan Zakat Ke Atasnya Adalah Sebagaimana Zakat ‘Nuqud’

Dr. Ibrahim Abdul Halim Ubadah berpendapat bahawa mata wang kripto adalah sejenis mata wang khusus dan oleh itu dianggap sebagai harta yang wajib dizakatkan. Hukum zakat ke atas mata wang kripto disamakan dengan hukum zakat ke atas mata wang fiat, yang diqiyaskan kepada hukum zakat ke atas emas dan perak. Ini kerana mata wang kripto memiliki sifat ath-thumuniyyah al-mutlaqah (fungsi sebagai alat tukar mutlak).

Mata Wang Kripto Adalah Aset Digital Dan Hukum Zakat Ke Atasnya Diqiyaskan Kepada Hukum Zakat Perniagaan (‘Urud Tijarah)

Pendapat ini juga disokong oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, yang memutuskan bahawa pemilikan aset digital seperti Bitcoin dikenakan zakat sekiranya memenuhi syarat haul (tempoh satu tahun) dan nisab (jumlah minimum). Zakat dikenakan ke atas aset digital kerana ia dianggap sebagai ‘Urud al-Tijarah (barang dagangan).

Pandangan Lembaga Zakat Selangor (LZS)

Mata wang kripto termasuk dalam kategori al-Mal kerana ia dianggap harta yang mempunyai sifat al-Mutaqawwim (bernilai secara syarak). Oleh itu, zakat diwajibkan ke
atasnya berdasarkan dalil-dalil umum mengenai kewajipan zakat terhadap al-Mal. Hukum zakat ke atas mata wang kripto bergantung kepada kategori jenisnya, sama ada sebagai Barang Dagangan (‘Urud Tijarah) atau Mata Wang (al-Sarf).

Di samping itu, beberapa rujukan menyatakan bahawa aset digital ini boleh diklasifikasikan sebagai mata wang atau komoditi. Jika aset tersebut dianggap sebagai mata wang, zakat boleh dikenakan berdasarkan zakat simpanan atau zakat pendapatan. Namun, jika ia dikategorikan sebagai komoditi yang bernilai dan diperniagakan, zakat perniagaan dikenakan ke atas aset digital tersebut. Bagi memudahkan perbincangan lanjut, wajar untuk menerangkan secara umum teori zakat perniagaan, zakat simpanan, dan zakat pendapatan.

Sekiranya mata wang kripto mempunyai sifat althamaniyyah (nilai sebagai alat tukar), maka hukum zakat emas dan perak boleh terpakai, dan zakat simpanan akan dikenakan. Sementara itu, bagi aset digital dalam kategori komoditi, dua jenis zakat boleh dikenakan, iaitu:

Zakat Perniagaan

Jika aset tersebut dijual semula untuk tujuan keuntungan yang mana memenuhi syarat-syarat zakat perniagaan.

Zakat Pendapatan (Berasaskan teori zakat mal al-mustafad)

Jika aset digital tidak diniatkan untuk perniagaan, tetapi masih dapat menghasilkan pendapatan melalui pelaburan atau penjualan ketika harga meningkat, atau melalui cara lain yang mendatangkan keuntungan, ia memenuhi syarat zakat bagi mal al-mustafad (harta yang menghasilkan pendapatan). Berdasarkan pandangan pakar, kebanyakan mereka cenderung untuk mengenakan zakat terhadap aset digital.

Antara alasan yang dikemukakan adalah kerana aset digital memenuhi ciri-ciri harta bernilai. Secara lebih terperinci, asas zakat ke atas aset digital menurut pandangan pakar yang ditemu bual meliputi:

  1. Menentukan sama ada aset digital dianggap sebagai wang atau komoditi.
  2. Mengkaji kedudukan aset digital dari sudut althamaniyyah (nilai sebagai alat tukar)
    atau al-muthman (harta bernilai).
  3. Mempertimbangkan aset digital sebagai barang perniagaan.
  4. Membezakan penggunaan aset digital untuk tujuan perniagaan, pelaburan, atau
    simpanan.

Olahan daripada Sumber: https://mais.gov.my/e-edisi/zakat-wang-crypto/

Tatal ke Atas