fbpx

Pelaburan Kripto: 6 Perkara Anda Perlu Tahu

By Zakat Malaysia

Pelaburan dalam mata wang kripto telah menarik perhatian ramai kerana ia dianggap lebih menguntungkan berbanding pelaburan lain dalam kelas yang sama.

Namun, disebabkan oleh volatiliti yang tinggi, pelaburan dalam mata wang kripto juga dianggap berisiko tinggi dan boleh mengakibatkan kerugian besar kepada pelaburnya.

Oleh itu, sekiranya anda berminat untuk melibatkan diri dalam pelaburan ini, adalah penting untuk memahami asas-asas mata wang kripto, manfaat serta risiko yang terlibat.

Seperti pelaburan dalam instrumen lain, pastikan anda membuat pertimbangan yang teliti mengenai objektif pelaburan, tempoh pelaburan, kemampuan kewangan dan profil risiko anda.

Selain itu, pastikan platform pelaburan yang anda pilih adalah sah dan selamat, dan bukan sekadar scam dalam talian yang semakin berleluasa pada masa kini.

1. Apakah itu Cryptocurrency?

Cryptocurrency adalah mata wang digital atau maya yang menggunakan kriptografi untuk menjamin keselamatan dan beroperasi tanpa pengawasan daripada pihak berkuasa pusat atau kerajaan.

Berbeza dengan mata wang fiat yang biasa kita gunakan, yang dikeluarkan oleh kerajaan negara masing-masing, mata wang digital menggunakan teknologi blockchain untuk mencapai desentralisasi, ketelusan, dan kebolehubahan.

Pada masa kini, cryptocurrency boleh digunakan untuk membayar pembelian dalam talian tanpa melalui perantara seperti bank, atau ia juga boleh disimpan sebagai pelaburan.

2. Ciri Utama Matawang Kripto

Desentralisasi: Kebanyakan mata wang kripto beroperasi secara desentralisasi, di mana ia tidak dikawal oleh pihak berkuasa pusat, tetapi berfungsi dalam rangkaian peer-to-peer tanpa pengawasan pihak tertentu.

Keselamatan: Mata wang kripto menggunakan teknik kriptografi untuk mengawal transaksi, penciptaan unit baharu, serta mengesahkan pemindahan aset dengan selamat.

Ketelusan: Semua transaksi direkodkan dalam lejar awam untuk memastikan ketelusan, sekaligus mengurangkan risiko penipuan.

Tidak boleh diubah: Setelah transaksi direkodkan dalam rantaian blok, ia tidak boleh diubah atau dipadamkan, bagi memastikan integriti data terus terpelihara.

3. Matawang Kripto Yang Popular

Bitcoin (BTC): Sebagai mata wang kripto pertama dan paling terkenal, Bitcoin sering digelar sebagai “emas digital.” Dicipta pada tahun 2009 oleh Satoshi Nakamoto, Bitcoin adalah mata wang kripto asal. Pada Mei 2016, satu Bitcoin boleh dibeli dengan harga sekitar $500. Namun, pada 23 Julai 2024, harga satu Bitcoin telah melonjak kepada sekitar $66,506, mencatatkan peningkatan sebanyak 13,201%.

Ethereum (ETH): Ethereum adalah mata wang kripto yang menggunakan rangkaian blockchain terdesentralisasi dengan sokongan untuk kontrak pintar dan aplikasi
terdesentralisasi (dApps). Dari April 2016 hingga akhir Julai 2024, harganya meningkatbdaripada kira-kira $11 kepada sekitar $3,501, mencatatkan kenaikan sebanyak 31,730%.

Tether (USDT): Tether (USDT) adalah stablecoin yang disokong oleh mata wang fiat sepertibdolar AS dan Euro, dan direka untuk mengekalkan nilai yang hampir sama dengan mata wang fiat tersebut.

Binance Coin (BNB): Binance Coin adalah mata wang kripto yang digunakan untuk berdagang di Binance, salah satu bursa kripto terbesar di dunia. Harga BNB pada tahun
2017 hanyalah $0.10, namun menjelang akhir Julai 2024, harga BNB telah melonjak kepada sekitar $584, mencatatkan peningkatan sebanyak 584,301%.

Ripple (XRP): Ripple bertumpu pada usaha memudahkan pembayaran rentas sempadan dalam masa nyata untuk institusi kewangan. Pada awal 2017, harga Ripple adalah sekitar $0.006, namun pada Julai 2024, harga XRP telah meningkat kepada $0.60, dengan peningkatan sebanyak 9,825%.

4. Manfaat Melabur dalam Matawang Kripto

Pulangan Potensi yang Tinggi: Mata wang kripto telah terbukti mampu memberikan pulangan yang signifikan, berikutan peningkatan harga unit syiling yang pesat dalam tempoh masa yang singkat.

Pelbagaian Portfolio: Dengan memasukkan mata wang kripto ke dalam portfolio pelaburan, anda dapat mempelbagaikan aset dan mengurangkan risiko kerugian, serta membuka peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan.

Akses Tanpa Had Waktu: Berbeza dengan platform pelaburan tradisional yang hanya boleh diakses pada waktu tertentu, mata wang kripto boleh didagangkan 24 jam sehari, 7 hari seminggu, membolehkan anda memantau dan membuat keputusan pada bila-bila masa.

Perlindungan Terhadap Inflasi: Banyak pelabur melihat mata wang kripto, terutamanya Bitcoin, sebagai alat untuk melindungi nilai daripada inflasi, membantu memastikan
kestabilan nilai mata wang dalam jangka panjang.

Risiko Pelaburan dalam Mata Wang Kripto:
Volatiliti yang Tinggi: Mata wang kripto terkenal dengan turun naik harga yang sangat tinggi, di mana nilai unitnya boleh berubah dengan cepat dan mendadak, meningkatkan risiko kerugian.

Ketidakpastian Peraturan: Dunia mata wang kripto masih kurang pengawalan yang jelas, dengan peraturan yang terus berkembang. Ketidakpastian ini boleh memberi impak negatif kepada pelaburan dan kestabilan pasaran.

Risiko Keselamatan: Walaupun teknologi blockchain dianggap selamat, platform pertukaran dan dompet pelaburan dalam talian tetap terdedah kepada ancaman penggodaman dan penipuan yang boleh menjejaskan pelaburan anda.

Manipulasi Pasaran: Beberapa mata wang kripto yang kurang cair boleh terdedah kepada manipulasi harga oleh pedagang besar, yang boleh memberi kesan kepada kestabilan pasaran dan nilai syiling tersebut.

Kekurangan Nilai Intrinsik: Berbeza dengan aset tradisional yang menghasilkan aliran tunai atau pendapatan, mata wang kripto tidak mempunyai nilai intrinsik yang jelas,
menjadikannya sukar untuk dinilai dengan tepat.

5. Langkah untuk Mula Melabur dalam Matawang Kripto

Penyelidikan dan Pendidikan: Tambahkan ilmu pengetahuan anda mengenai asas teknologi blockchain dan mata wang kripto, terutama bagi mata wang yang anda minati. Sentiasa ikutinberita terkini dan analisis pasaran untuk memahami turun naik harga. Sebagai contoh, pada 2021, pasaran mata wang kripto menyaksikan kejatuhan besar apabila Bitcoin jatuh 30% daripada paras tertingginya kepada $47,686.81 dan Ethereum merosot sebanyak 23% kepada $3,769.70.

Pilih Platform yang Dipercayai: Pilih platform mata wang kripto yang diiktiraf oleh kerajaan untuk memastikan keselamatan pelaburan dan kecairan yang tinggi. Di Malaysia, contoh platform yang sah dan diiktiraf adalah Luno.

Buat Dompet yang Selamat: Gunakan dompet yang selamat untuk menyimpan mata wang kripto anda dan untuk melaksanakan transaksi secara selamat. Setiap dompet mempunyai kunci awam dan persendirian untuk menghantar dan menerima mata wang kripto.

Bangunkan Strategi Pelaburan yang Betul: Sebelum melabur, tentukan matlamat anda, jumlah pelaburan yang sesuai dengan kemampuan kewangan, serta sama ada anda ingin mengambil pendekatan agresif atau pasif. Jangan melabur hanya kerana mengikuti orang lain atau terpengaruh dengan potensi keuntungan besar. Elakkan meminjam wang untuk melabur kerana ini adalah pelaburan berisiko tinggi.

Mula Kecil: Mulakan dengan pelaburan kecil untuk membiasakan diri dengan dinamik pasaran sebelum melabur dalam jumlah yang lebih besar. Ini juga memberi peluang untuk memahami selok-belok pasaran mata wang kripto.

Pelbagaikan Portfolio Anda: Elakkan daripada meletakkan semua wang anda ke dalam satu jenis mata wang kripto sahaja. Pelbagaikan pelaburan anda untuk mengurangkan risiko kerugian.

Pantau dan Semak Prestasi Pelaburan: Sentiasa semak prestasi pelaburan anda dan ikuti perkembangan terkini berkaitan mata wang kripto yang anda pilih. Bersedia untuk mengubah strategi pelaburan jika diperlukan, dengan mengambil kira perubahan aliran pasaran dan kemas kini peraturan yang relevan.

Kesimpulan

Pelaburan dalam mata wang kripto menawarkan peluang yang menarik, namun ia juga membawa risiko yang tinggi. Oleh itu, jika anda berminat untuk melabur dalam pasaran ini, adalah penting untuk memahami dengan mendalam bagaimana pasaran kripto berfungsi. Selain itu, anda perlu mempunyai strategi pelaburan yang sesuai dan memastikan anda mempunyai kemampuan kewangan untuk menghadapi ketidaktentuan dalam pasaran ini.

Sebelum memulakan pelaburan dalam mata wang kripto atau instrumen pelaburan berisiko tinggi lain, adalah bijak untuk memastikan anda memiliki tabung kecemasan. Disarankan agar tabung kecemasan ini mewakili sekurang-kurangnya enam bulan gaji anda, dan disimpan dalam instrumen pelaburan yang lebih stabil seperti deposit tetap atau Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Dengan adanya tabung kecemasan ini, anda dapat melindungi kewangan anda dari sebarang kerugian yang mungkin berlaku dalam pelaburan mata wang kripto, sambil
memastikan keselamatan kewangan peribadi anda.

Olahan daripada umber asal:
https://www.asnbacademy.com.my/ms/posts/pelaburan-kripto–5-perkara-anda-perlu-tahu

          Tatal ke Atas